Dalam Facebook heboh orang menulis status tentang kenyataan seorang bertaraf menteri bahawa bila harga ayam naik, jangan beli ayam atau boikot. Dari satu sudut, memang bunyinya kelakar kerana jawapan dari seorang menteri semudah itu. Kalau begitu caranya, lebih baik jangan jadi menteri - atau sesiapapun boleh jadi menteri dengan membuat jalan penyelesaian sedemikian.
Dari sudut yang lain pula, kata menteri itu memang ada benarnya. Tiap kali tiba musim perayaan, harga ayam akan meningkat. Perkara ini akan berulang setiap tahun. Alasannya permintaan ayam di musim perayaan meningkat dan bekalan tidak mencukupi. Sebenarnya pengguna di negara kita tidak cukup kuat. Mereka tidak bersatu untuk menentukan harga pasaran. Mereka tidak sedar kuasa besar yang ada pada mereka. Pengguna lebih mementingkan diri sendiri. Kalau semua orang berhenti membeli ayam dalam masa seminggu sebagai tanda protes kenaikan harga, maka akan berlaku lambakan stok ayam. Ayam yang ada akan membusuk dan menyebabkan peniaga atau pemborong kerugian besar. Bila ini berlaku, pemborong mahupun peniaga tak berani untuk bermain-main dengan harga lagi. Mereka akan takut kpada pengguna. Itu jawapan paling mujarab untuk kenaikan harga ayam. Ia juga cukup untuk mengajar pihak yang cuba mengambil kesempatan menangguk di air keruh.
Masalahnya, di kalangan pengguna, ramai yang memandang sinis tindakan memboikot beli ayam. Mereka menganggap berhenti membeli ayam adalah jawapan yang bodoh dan melucukan. Ia selah-olah tindakan menukar selera dari makan ayam kepada makan daging dan sebagainya. Sebenarnya ia tidak berlaku. Pengguna perlu bersabar. Bila kempen boikot dijalankan dalam masa beberapa hari saja sudah cukup untuk mengakbatkan harga ayam jatuh menjunam, kemudian mereka bukan saja boleh menikmati kembali resepi ayam malah diperolehi dengan harga yang lebih murah dari sebelumnya. Ia tidaklah mustahil dan tindakan ini boleh dilakukan kalau semua pengguna bersatu padu.
Di Barat, pengguna lebih cerdik dan mereka bersatu untuk menentukan harga pasaran, bukan ditetapkan oleh pengeluar. Saya bukan hendak menyokong mana-mana pihak dan pendapat saya adalah secara kebetulan sahaja menyebelahi pihak menteri yang yang dikatakan bodoh itu.
Rakyat Malaysia masih tidak yakin dengan tindakan boikot sebab mereka belum pernah lakukan maka mereka tak pernah melihat buktinya. Tapi ia adalah cara yang paling berkesan untuk menentukan harga produk di pasaran. Permintaan yang tinggi menyebabkan harga meningkat tetapi jika sesuatu produk tidak terjual, harganya akan jatuh menjunam.
Saturday, July 20, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)