Thursday, May 16, 2013
Kisah Benar- Istimewa Hari Guru
Categories :
Cikgu, terima kasih kerana membalas semua sms saya walau pun lewat. Saya tahu akan kesihatan Cikgu yang uzur. Hari ini, Hari Guru. Murid saya hanyalah budak-budak seusia empat,lima dan enam tahun. Tapi setiap kali sambutan hari Guru, mereka berlumba-lumba nak beri saya hadiah.
Saya pernah dapat hadiah dari yang semahal-mahalnya dan ada hadiah yang dah terpakai! Begini Cikgu, pernah pada satu kali sambutan hari guru, semua murid saya datang dan pelok saya. Mereka bagi saya macam-macam. Seorang murid yang saya kenal pasti datang dari keluarga yang agak susah, memerhatikan sahaja gelagat kawan-kawannya. Kawan-kawannya cakap, " Awak tak bagi Cikgu hadiah..kami semua dah bagi..." Dia pandang wajah saya. Saya jawab, " Tak apalah kalau dia tak bagi, hadiah ni pun bukan awak semua yang beli, kan ini semua dari poket emak ayah awak? Lainlah kalau memang dari hasil kerja awak semua. Masa tu lambat lagi, sekarang masa awak semua belajar.Cikgu tak kisah kalau awak tak bagi langsung pun," saya memujuk hati budak tadi dengan ayat-ayat saya.
Cikgu tau? Dia datang menghampiri saya. Dia menghulurkan saya bekalnya! Hari-hari dia suka makan donat. Itulah makanan kegemaran dia. Seringkali dia masuk dalam kelas dengan mulutnya yang penuh mengunyah donat. Dan ada lagi dalam plastik dua atau tiga ketul untuk dimakannya waktu rehat.
" Awak bagi Cikgu ke kuih ni?" Saya menyentuh bahunya. " Iya..saya hadiah. Saya tak ada duit nak beli hadiah macam mereka.." Oh Tuhan! Mata saya basah,Cikgu! Saya tarik budak tu dan saya peluk dia kemas-kemas ke dada. Semua kawannya diam dan saya perasan ada budak perempuan yang bertakung airmatanya!
Saya tak minta semua hadiah-hadiah tersebut. Tugas saya hanyalah mengajar. Mendidik dan menuntun mereka ke jalan yang diredhai Allah. Seringkali saya ucapkan, " Jadilah apa saja. Doktor. Peguam. Guru. Polis. Askar. Angkasawan. Apa saja. Tapi mestilah beriman dan taat dengan Tuhan."
Cikgu, saya sentiasa mendoakan semoga Cikgu di dalam naungan kasih sayang Allah. Sekarang saya faham. Saya mengerti. Apa yang Cikgu rasa dahulu telah pun saya alami. Saya lebih mengerti kenapa waktu kelas sastera dahulu Cikgu selalu bersikap "misteri" dan meninggalkan kami terpinga-pinga.
Andai sahaja saya tau waktu itu. Andai sahaja saya mengerti ketika itu. Betapa Cikgu sedang diuji dengan satu ujian yang sangat hebat. Bersendirian memelihara anak-anak. Bergegas ke kem Kamunting dari Petaling Jaya untuk melawat suami tercinta yang dalam tahanan ISA! Datang jauh-jauh berpenat-penat tapi seringkali pulang dengan kecewa kerana Cikgu tak dibenarkan berjumpa dengan suami! Maaf Cikgu. Maaf sebab waktu itu saya tak tau apa itu ISA. Apa itu kem Kamunting. Apa itu politik! Waktu itu saya hanya minat sastera. Saya hanya mahu belajar.
Alhamdulillah. Tuhan mempertemukan kita lagi. Terima kasih yang tak terhingga kerana Cikgu selalu mendorong saya dengan kata-kata semangat untuk saya terus kuat dan tabah memelihara anak-anak tanpa sokongan dari seorang laki-laki yang bergelar suami.
Terima kasih Cikgu kerana membalas mesej saya semalam. Saya tak berpeluang bagi Cikgu hadiah. Tapi saya akan tetap mendoakan Cikgu. Saya akan sentiasa mengenang jasa baik Cikgu hingga akhir hayat saya.
Sekian sahaja nukilan dari saya,
pulanglah perantau!
Dedikasi untuk Cikgu Sabariah.. (GURU SASTERA SMK PETALING 1978-1979)
KEPADA SEMUA GURU DI MALAYSIA, SELAMAT HARI GURU!
Oleh: Kaklong Nagano
Subscribe to:
Post Comments (Atom)