Advertise

Friday, April 19, 2013

Pesanan Ikhlas Buat Calon PRU13

0 comments
oleh Deth Mustaine

Pesanan ikhlas kepada semua pemimpin terutama calon-calon yang bakal bertanding pada PRU13 ini bahawa kemenangan anda bakal ditentukan oleh pengundi-pengundi baru, orang muda dan mereka yang tidak berparti kerana golongan ini lebih ramai berbanding ahli parti masing-masing. Jadi anda tidak semestinya sering dilihat hanya rapat dengan ahli parti anda sahaja sebaliknya anda perlu turun padang memperkenalkan diri, beramah mesra dengan rakyat yang tidak berparti ini. Undi mereka inilah yang bakal menentukan siapa yang berhak memimpin mereka, bukan ahli parti. Kalau nak diharapkan undi dari ahli parti sahaja, itu tidak cukup untuk memenangkan anda.

Kepada ahli-ahli parti, janganlah anda terlalu taksub kepada pemimpin anda kerana rakyat majoriti yang tidak berparti yang akan menentukan pemimpin anda menang atau kalah. Memanglah mereka ini tidak melakukan atau menyumbang apa-apa untuk kemenangan parti kerana mereka bukan ahli parti sebaliknya mereka inilah pihak yang menilai pemimpin dengan sebaik mungkin berdasarkan pengaruh yang rapat dari kawan-kawan, saudara-mara dan sebagainya. Cakap-cakap atau sembang di kedai kopi, persepsi juga penting dan boleh membuatkan mereka ini berubah fikiran menukar pilihan siapa yang ingin diberi undi. Jika anda mahu pemimpin anda menang, anda juga perlu melakukan gerak kerja untuk mendekati pengundi di kawasan anda. Bukan setakat pergi menziarah ke rumah-rumah, itu idea yang sudah basi. Anda perlu kreatif dalam melakukan kerja untuk memenangi hati rakyat kebanyakan.

Kini kedengaran sudah ada calon-calon yang mula sukar dihubungi sejak akhir-akhir ini. Tidak dinafikan mereka ini semakin sibuk, dan ada yang menyerahkan telefon bimbit kepada pembantu peribadi tapi kalau panggilan telefon langsung tidak dijawab, ini bukan petanda yang baik untuk memenangi hati rakyat. Pembantu peribadi juga jika anda diberi amanah, sepatutnya sekurang-kurangnya anda cuba memberi respon seperti menghubungi kembali atau hantarkan mesej ringkas supaya orang tidak membuat persepsi yang buruk terhadap calon anda.  

Rakyat yang cuba menghubungi anda bukannya ingin mendapatkan habuan atau balasan jika anda menang sekalipun. Adakah kerana mereka ini bukan ahli parti, maka panggilan telefon itu tak perlu dijawab? Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku.

Ada juga kes di mana calon-calon ini turun padang menemui pengundi dengan menaiki kereta mewah siap dengan pemandu peribadi. Ini tidak sedikitpun melambangkan ciri-ciri mengutamakan rakyat sebaliknya bakal membuatkan anda ditolak oleh pengundi. Rakyat tidak kisah jika ada calon yang memang datang dari golongan professional seperti doktor, peguam dan sebagainya kerana rakyat faham dan tak kisah tentang kekayaan peribadi anda sebaliknya sejauh mana anda mampu memberikan khidmat yang terbaik untuk mereka. Bermegah dan menunjuk-nunjuk kemewahan kepada pengundi akan akan meletakkan jurang yang luas antara anda dan pengundi dan bakal membuatkan anda dihumban jauh dari arena politik dan masa depan anda. 

Leave a Reply

 
Mediaperak.net © 2013 mediaperak.net & Blogger. Supported by Mediaperak Perak

"Menggalas Harapan Rakyat"