Advertise

Wednesday, April 17, 2013

Kerajaan PAS Kedah 'menghancurkan' Kulim Hi-Tech Park?

0 comments

KULIM HI TECH PARK (KHTP) SEBUAH PROJEK NASIONAL YANG MENJADI MANGSA POLITIK ANTARA KERAJAAN PUSAT DAN KERAJAAN NEGERI



KTPC dan KHTP Mangsa Politik Kepartian? Ibarat pepatah Melayu iaitu gajah dan gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah. Sudah tiba masanya Dato Ir Amiruddin menggunakan hikmahnya selaku pemimpin selepas PRU-13 jika mendapat mandat lagi selaku Exco di Kedah Darulaman.  

Oleh: Servant of Allah SWT

Setelah membaca artikel seorang blogger pro-UMNO dan BN yang menghuraikan dengan data dan fakta yang menghentam kerajaan PAS Kedah 100 peratus mengenai prestasi pelaburan yang hambar di Kulim Hi Tech Park (KHTP) yang ditadbir oleh Kulim Technology Park Corporation(KTPC), penulis rasa adalah tidak adil untuk meletakkan 100 peratus kesalahan di bahu YB Dato' Ir Amiruddin Hamzah dan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Penulis selaku salah seorang yang turut pernah terbabit dalam membantu pasukan MITI/MIDA/KTPC dalam proses ‘site selection’ atau dalam erti kata lain pemilihan tempat oleh projek-projek pembuatan pelaburan asing di Malaysia dan pernah berkhidmat di MIDA Kedah/Perlis selama hampir 3-tahun dan kemudiannya di Bahagian Pelaburan Asing,MIDA juga selama hampir 3-tahun, ingin berkongsi pengalaman penulis buat tatapan umum terutamanya rakyat Kedah untuk buat penilaian sendiri.

Sekitar tahun 2003/2004, Kulim Hi Tech Park (KHTP) turut mengalami kesukaran untuk mendapat beberapa pelaburan asing yang berkualiti.  Selepas langkah drastik kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan (MoF) di bawah pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi yang telah bersetuju untuk memberi pakej istimewa kepada syarikat Infineon , yang berpusat di German, satu demi satu syarikat asing seperti Intel dan Fuji Electric tampil untuk turut sama menghantar delegasi membuat 'site selection' dan turut mengambil keputusan menambah pelaburan di KHTP selepas mendapat pakej istimewa daripada kerajaan Pusat.  Di sinilah bermulanya era baru atau dalam erti kata lain telah memberi nafas baru kepada KHTP.

Penulis tidak mahu komen mengenai insentif insentif yang diberikan secara komprehensif di sini, cukuplah jika penulis ingin menekankan di sini bahawa peranan Kerajaan Pusat amat penting di dalam menentukan sesuatu projek pembuatan pelaburan asing yang berskala besar untuk melabur di Malaysia. Selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pimpinan UMNO di beberapa negeri seperti Selangor, Pulau Pinang (Gerakan) dan Kedah pada tahun 2008, maka, Iskandar Malaysia di negeri Johor Darul Takzim telah menjadi ‘anak emas’ Kerajaan Pusat. Malah, tempias daripada tumpuan utama Kerajaan Pusat kepada Iskandar Malaysia atau dalam erti kata lain 'dianaktirikan' bukan sahaja dirasai oleh Kulim Hi Tech Park, negeri Pulau Pinang tetapi Cyberjaya yang terletak di Selangor yang suatu masa dahulu 'Golden Site' Tun Dr Mahathir Mohamad juga turut terasa.

Penulis agak terkejut kenapa penulis blogger tersebut menghentam kerajaan PAS pimpinan Datuk Seri Azizan dan YB Dato' Ir Amiruddin Hamzah sedangkan Ahli Lembaga Pengarah KTPC turut merangkumi ahli-ahli yang dilantik oleh Kerajaan Pusat. Pada hemat penulis, jentera dan pegawai KTPC dan juga kerajaan PAS Kedah sentiasa memberi kerjasama kepada kerajaan Pusat melalui agensi MITI iaitu MIDA di dalam soal pembangunan Kulim Hi Tech Park pasca 2008.

Soalnya kini, projek pelaburan asing tidak boleh difokuskan kepada projek pelaburan asing yang baru sahaja. Pada hemat penulis, jika First Solar sudah melakukan ‘expansion’ atau pembesaran hatta ‘diversification’ sekalipun sepanjang pemerintahan PAS, itu telah menunjukkan bahawa First Solar mempunyai keyakinan kepada para pekerjanya di negeri Kedah Darulaman. Bukan mudah untuk mendapatkan projek berskala besar terutamanya projek baru atau ‘greenfield’ di dalam arus persaingan pelaburan asing masa kini. Kita bukan bersaing di antara negeri dan negeri sahaja di dalam Malaysia tetapi kita turut bersaing di antara negara dan negara.

Untuk rekod, ‘Site Selection Studies’ melalui 'Request for Information' atau ‘RFIs’ yang dikemukakan oleh ‘site selectors’ yang dilantik oleh bakal-bakal pelabur di dalam penilaian sesuatu projek adalah bersifat secara komprehensif dan menyeluruh. Kos buruh, harga tanah, percukaian, ‘support services’ atau perkhidmatan sokongan, tarif elektrik, perumahan, duti import peralatan, harga air, tahap penguasaan Bahasa Inggeris dan bahasa lain masyarakat, kadar 'literacy', jarak pelabuhan dengan kilang, dan segala 1001 persoalan akan ditimbulkan dan dipersoalkan oleh ‘site selectors’ yang dilantik untuk menilai ‘site’ di dalam radar penilaian mereka. Malah, kebanyakan pengwujudan daya penarik  projek baru untuk melabur di sesebuah lokasi di negara ini adalah membabitkan kuasa Kerajaan Pusat.

Sebagai contoh, pemberian wang 'matching grant' kepada bakal pelabur dalam amaun ratusan atau puluhan juta ringgit. Kuasa ini terletak pada kerajaan Pusat iaitu Menteri  Kewangan. Dalam konteks negara Malaysia, satu satunya negara di dunia Perdana Menteri juga adalah Menteri Kewangan,panji bendera yang dipegang ialah UMNO. Manakala, urusan lain dalam 'negotiation' terutamanya yang berkaitan syarat-syarat Lesen Pengilangan adalah tertakluk kepada kuasa Menteri MITI yang panjinya juga adalah UMNO. Sehubungan dengan itu, dalam bahasa mudah, kenapa mesti Menteri Kewangan dan Menteri MITI ingin membantu kerajaan PAS Kedah kerana PAS yang akan dapat nama baik mereka bantu 'all out' kerajaan Johor Darul Takzim yang terkenal sebagai kubu kuat UMNO dan tidak kurang juga sokongan kepada kerajaan Melaka. Begitulah mainan atau taktik UMNO. Orang putih kata 'simple as that'. Begitulah juga yang berlaku di Kelantan Darul Naim yang telah menerima nasib 'double standard' atau layanan kelas kedua oleh Kerajaan Pusat.  

Selaku rakyat Kedah , penulis merumuskan bahawa KHTP adalah sebuah projek nasional yang menjadi mangsa percaturan politik Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Jika waktu penulis berkhidmat di MIDA Kedah/Perlis, syarikat konsesi elektrik NUR menjadi isu utama akibat percaturan politik dalaman BN , kini, KHTP dilanda taufan terus kerana BN vs PR. Jika individu-individu tertentu yang dikaitkan kerana kegagalan mereka dalam mentadbir urus KTPC itu sendiri pasca 2008 sepertimana yang dilaporkan oleh blogger2 UMNO/BN, maka, saya cadangkan silalah bawa kepada pengetahuan SPRM. Malah, kerajaan PAS pimpinan Dato Seri Azizan Abdul Razak sendiri perlu ambil tindakan menyiasat secara komprehensif tanpa 'fear or favour' demi masa depan Kulim Hi Tech Park(KHTP) dan anak-anak muda Kedah. 

Kasihanilah anak-anak muda Kedah yang penat bersekang mata mengaji ilmu Kejuruteraan Elektronik dan segala macam jenis ilmu di universiti universiti dan kolej universiti di Malaysia. Dahlah penat mengaji. Nak bayar PTPTN lagi. Terpulanglah kepada rakyat Kedah terutamanya anak anak muda untuk menilai sendiri dan untuk memangkah siapa pada PRU-13.

Leave a Reply

 
Mediaperak.net © 2013 mediaperak.net & Blogger. Supported by Mediaperak Perak

"Menggalas Harapan Rakyat"